TINTA GB

Lafaz basmalah pemula kalam.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Di dahan sena hinggap pekaka,

Berdaun rendang subur di hutan,

Bingkisan kata wadah pembuka,

Mesra dilayang memahat ingatan.

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana dengan izinNya, impian dan hasrat Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu untuk membangunkan portal rasmi sekolah telah berjaya direalisasikan. Berkat usaha bersulam ketekunan, sumur yang digali telah terbit airnya.

Setinggi penghargaan dan kalungan apresiasi tulus dihulurkan kepada seluruh warga sekolah khususnya barisan jawatankuasa Portal Rasmi Sek Keb Matang Gerdu atas komitmen, inisiatif, sokongan dan kerjasama yang telah diberikan dalam memastikan penghasilan portal ini menjadi realiti.

Penghasilan portal ini sesungguhnya menjadi manifestasi bahawa pihak sekolah sentiasa komited dan bersedia dalam membawa hala tuju pendidikan negara merentasi arus perkembangan globalisasi dan teknologi maklumat yang pesat berkembang. Sejajar dengan hasrat negara untuk melahirkan warga yang berteknologi tinggi dan berdaya saing, kewujudan portal ini diharapkan dapat memberi impak positif untuk dimanfaatkan bagi tujuan tersebut.

Di samping itu, saya amat berharap portal ini mampu menjadi wadah serta landasan yang dapat mempertautkan hubungan dan kolaborasi mapan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti. Saya juga meletakkan harapan yang besar agar penghasilan portal ini dapat dijadikan medium komunikasi yang pantas dan berkesan kepada semua pihak dalam menyebar luas maklumat berkaitan perkembangan, pembangunan dan kecemerlangan sekolah.

Sesungguhnya, perjuangan untuk meletakkan Sek Keb Matang Gerdu berada di puncak kecemerlangan itu bukan satu tugas mudah. Ia menuntut usaha dan kerja keras seluruh warganya. Justeru saya sangat optimis dengan kesatuan hati, derap langkah seia sekata, sehati sejiwa, senada dan seirama warga SKMG, kita akan dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak didik yang kita kasihi. Mari menjadi benang yang terjalin membentuk kain. Saling menguatkan antara satu sama lain.

Akhir kalam, terima kasih diucapkan sekali lagi kepada seluruh warga SKMG atas jerih perih dan bakti yang telah ditabur dalam memastikan anak-anak bangsa menggapai jaya. Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan untuk kita melunasi segala amanah yang tergalas dengan sebaik mungkin dan berada dalam redha-Nya sentiasa.

“Amal ikhlas pahala dibalas”

Sekian.

Mohamad Shah bin Ramli.

GURU BESAR SK MATANG GERDU – 2017